Fulltime Blogger & Influencer. Best New Media at Blue Ribbon 2014 Award. Best Motorsport Blog MSMW 2015.

Salam Semua,

Terasa lama tidak menulis. Terlalu sibuk dengan urusan kerja dan Kelab sehingga tidak ada ruang untuk meluangkan sedikit masa untuk menyumbangkan apa-apa coretan untuk tatapan semua. Kebetulan pula tiada perlawanan yang melibatkan Liverpool sepanjang minggu ini menjadikan minggu ini sebagai minggu yang agak kosong. Walaupun ada dihidangkan dengan siri perlawanan kelayakan Piala Dunia, namun tidak sama rasanya kehangatan jika tidak dapat tengok Liverpool beraksi.

Minggu ini suasana akan berubah. Rindu pada Liverpool FC bakal terubat dengan perlawanan yang dijadualkan pada 20hb Oktober 2012 iaitu melawan Reading. Saya yakin ramai yang menantikan perlawanan ini kerana kita mengharapkan perlawanan ini akan menamatkan badi bermain di Anfield. Rekod bermain di Anfield agak mengecewakan jika berbanding dengan perlawanan di tempat lawan. Kita harapkan keputusan akan memihak pada LFC kali ini dan sekaligus membawa kita keluar dari kelompok bawah.

Bercakap tentang harapan; kadang-kadang saya terfikir apa yang yang sedang bermain dalam fikiran pemain LFC saat ini. Saat yang melihat LFC kurang digeruni oleh pihak lawan. Saat yang melihat prestasi LFC tidak konsisten. Saat yang melihat LFC mampu dijinakkan oleh pasukan kerdil seperi West Brom, Sunderland dan lain-lain. Jika kita sebagai penyokong merasakan tekanan dan malah terbit rasa kecewa, apatah lagi yang dirasakan oleh pemain LFC terutamanya seperti Steven Gerrard sendiri.

   
Keputusan perlawanan bukan setakat menjejaskan kedudukan pasukan malah mampu menggugat kedudukan dan imej mereka sebagai pemain bolasepak terutama di benua Eropah. Prestasi pasukan yang tidak menentu mampu memberi impak pada peluang mereka dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan masing-masing. Bermain untuk Kelab adalah mata pencarian mereka manakala bermain untuk Negara pula adalah satu penghormatan yang tertinggi untuk setiap pemain bolasepak.. tidak terkecuali untuk Steven Gerrard sendiri.

Saya menyentuh isu ini kerana saya terbaca satu artikel mengenai komen Fernando Torres dalam salah sebuah akhbar baru-baru ini. Beliau mengatakan pernah satu ketika dimana beliau dan rakan-rakan yang lain sudah tidak mengambil endah tentang keputusan pasukan Chelsea. Mungkin beliau menjurus pada pengurus yang mengendalikan pasukan ketika itu iaitu Andre Villas Boas. Saya tidak peduli apa yang berlaku di kem Chelsea kerana dunia tahu pemain yang ada dalam skuad seperti Chelsea dan Manchester City berjuang di padang lebih kepada faktor kewangan. Dalam bahasa kasarnya; bermain kerana duit. Maka tidak hairanlah jika Torres mampu mengeluarkan kenyataan begitu. Saya faham apa yang dimaksudkan oleh Torres iaitu pemain yang ada seakan hilang minat kerana mereka dilihat tidak sehaluan atau tidak bersetuju dengan pendekatan pengurus ketika itu tetapi saya sangat yakin semangat berjuang untuk pasukan di Chelsea dan Man City terlalu tipis jika dibandingkan dengan pasukan lain kerana kesetiaan mereka boleh dijualbeli.

Rasa bimbang terbit pada diri saya selepaas baca artikel tersebut kerana adakah perasaan yang sama mampu berlaku di LFC? Mungkin bukan kerana rasa tidak sebulu dengan pengurus seperti yang dinyatakan oleh Torres tetapi jika keputusan sering tidak memihak pada pasukan walaupun telah mencuba pelbagai strategi; adakah kemungkinan rasa “bosan” ini akan timbul pada pemain yang terlibat? Mungkin tidak pada pemain yang membesar di Liverpool seperti Gerrard dan Carragher. Mungkin juga tidak pada barisan pemain muda dari Akademi. Tapi bagaimana pula dengan pemain yang sememangnya bergantung pada prestasi pasukan untuk pergi lebih jauh dalam bidang bolasepak? Tidak adil jika saya menyatakan nama di sini kerana lebih pada serkap jarang atau bergantung pada andaian semata tetapi dalam masa yang sama kemungkinan ini tetap ada. Dan, perkara ini akan menjadi barah jika tidak diatasi segera oleh pihak pengurusan terutama Brendan Rodgers (BR).  

Dengan tidak membuat sebarang andaian; apa kata kita lihat dari sudut yang pernah menimpa Torres. Sebulan sebelum berlangsungnya temasya Euro 2012, pengurus Sepanyol secara terbuka membuat kenyataan yang mengatakan tempat Torres tidak selamat jika prestasi Torres masih tidak menentu. Adakah waktu bermain yang diberikan pada Torres ketika itu dikira sedikit untuk memberi peluang padanya membuktikan kemampuan sebenarnya? Jawapannya TIDAK. Sebenarnya Torres diberi peluang yang cukup untuk bermain tetapi ketumpulan Torres ketika itu berpunca dari perancangan AVB yang tidak sesuai dengan bakat yang ada pada Torres. Begitu jugalah keadaannya dengan Suarez. Bezanya percaturan BR sangat mengena dengan bakat Suarez tetapi ketiadaan sokongan di barisan serangan menampakkan Suarez seakan-akan lemas. Kegagalan untuk menyempurnakan peluang di depan pintu gol secara langsung memberi gambaran yang jelas pada keupayaan seseorang penyerang. Bukan kerana Suarez tumpul tetapi faktor keletihan juga memainkan peranan. Suarez kerapkali dilihat terpaksa mencipta ruangan untuk dirinya sendiri. Apabila keadaan ini terlalu kerap; faktor keletihan mampu menjejaskan persembahan beliau. Kita tidak boleh menafikan faktor ini kerana Suarez juga manusia biasa. Beliau bukannya mesin atau robot. Jika faktor keletihan tidak wujud maka istilah “fresh leg” tidak akan disebut oleh pemerhati sukan bolasepak.

Keletihan bukan setakat menjejaskan persembahan malah mampu mempengaruhi mood seseorang pemain. Mood merupakan antara aspek yang penting dalam apa jua yang kita lakukan. Bukan setakat berkerja malah untuk beriadah juga perlukan mood yang tepat dan sesuai.

Kita lihat pula pada faktor penyenaraian dalam kesebelasan utama. Setelah menghadapi beberapa keputusan yang tidak memihak pada pasukan, logiknya seseorang pengurus akan memastikan pemilihan kesebelasan utama dan simpanan perlu lebih baik dan mampu bawa cabaran. Senario ini mampu menggugat keyakinan di kalangan pemain yang tidak disenaraikan. Mereka akan terfikir adakah mereka tidak cukup bagus untuk diberi peluang atau adakah mereka dilihat sebagai punca pasukan itu ditimpa permasalahan yang sedang mereka hadapi. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Frank Lampard. AVB secara jelas kurang menggunakan khidmat beliau sepanjang mengendalikan Chelsea. Akibatnya; nama Lampard tidak dipanggil ke skuad England. Ditambah pula dengan masalah “kecederaan” yang menimpa dirinya secara tiba-tiba setelah mengetahui tempatnya dalam skuad kebangsaan tampak sangat tipis.

Berbeza dengan pasukan yang mampu mencapai keputusan yang baik walau mereka menyenaraikan mana-mana pemain sekalipun. Walau dilabel sebagai “second string”, tetapi masih mampu memenangi perlawanan setiapkali diberi peluang; ini akan membangkitkan keyakinan yang sangat tinggi pada pemain tersebut. Tidak wujud keadaan dimana mereka dilihat sebagai punca kekalahan atau kemerosotan pasukan. Seperti yang berlaku dalam pasukan LFC sekarang; set pemain yang seakan sama akan diturunkan untuk setiap perlawanan dan ini seperti menghantar isyarat bahawa itu sahajalah yang terbaik di LFC. Pemain akan dihantui perasaan yang mengatakan mereka tidak cukup layak untuk dibawa lebih jauh. Itulah antara yang cuba dinyatakan oleh Torres dimana ramai pemain sudah tidak peduli sekiranya Chelsea menang atau kalah kerana mereka sudah “hilang mood” dengan Kelab.

Kini LFC berdepan dengan masalah pemain yang pulang dari tugas negara masing-masing dalam pusingan kelayakan Piala Dunia. Bukan setakat masalah kecederaan dan keletihan malah masalah mood sekali lagi memainkan peranan lebih-lebih lagi pada pemain yang menghadapi kelayakan ini dengan keputusan yang tidak memuaskan. Gagal untuk membantu pasukan negara mereka mendapatkan keputusan yang lebih meyakinkan. Gagal untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan. Gagal untuk memberi keyakinan pada pengurus supaya disenaraikan dalam pasukan kebangsaan pada masa akan datang. Terlalu banyak kemungkinan.

Saya tidak bersetuju dengan sikap seperti yang dinyatakan oleh Torres. Tetapi, dalam masa yang sama saya juga tidak menafikan senario ini sememangnya mampu berlaku dalam mana-mana pasukan. Kita menyokong LFC tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa unsur “tiada mood” ada dalam pasukan kesayangan kita. Keputusan perlawanan mampu menguatkan lagi kemungkinan benda ini berlaku. BR perlu lakukan sesuatu untuk setidaknya membawa LFC kembali ke landasan kemenangan supaya sikap ini dapat dibendung dari menular lebih parah.

Terima Kasih dan SCAST!!

Shankly List (Apai)

Kepada Supporters Liverpool boleh lawati ARM (ALL RED MALAYSIA) di :

Group FB https://www.facebook.com/groups/ALLREDSMALAYSIA/

1,299 total views, 1 views today

Leave Your Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam