Fulltime Blogger & Influencer. Best New Media at Blue Ribbon 2014 Award. Best Motorsport Blog MSMW 2015.

Salam Semua;

Saya mohon maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk menulis sejak artikel yang lepas. Ada yang beranggapan saya lama tidak menulis kerana saya kecewa dengan persembahan Liverpool FC (LFC) kebelakangan ini. Saya tidak mengatakan dakwaan itu betul mahupun menafikannya. Saya hanya dapat menyerahkan pada orang yang mengenali saya dengan rapat dan maklum dengan perjuangan saya dalam komuniti LFC di Negara ini untuk memberi jawapan samada pendapat itu benar atau sebaliknya.

Berbalik pada artikel saya kali ini; saya sebenarnya tertarik dengan persembahan dari pemain yang paling kecil di dalam skuad LFC sekarang ini iaitu Raheem Sterling. Sebenarnya saya sudah mula hendak menulis tentang Raheem ini sebaik selepas perlawanan dengan Everton yang berkesudahan dengan 2-2. Persembahan Raheem pada perlawanan tersebut boleh dilabel sebagai “outstanding”. Mungkin tak ramai yang sedar semasa perlawanan tersebut, Raheem adalah pemain yang paling muda iaitu 17 tahun dan yang paling kecil iaitu 5kaki 7 inci. Saya tidak dapat bayangkan jika Raheem diberi peluang untuk berdiri sebelah pemain seperti Peter Crouch atau Andy Carroll. Tentu senarionya sangat menarik..

Saya pernah menulis tentang bakat pemain muda dalam beberapa minggu yang lepas di mana saya menyentuh tentang Jonjo Shelvey, Suso, Assaidi dan tidak terkecuali juga tentang Raheem. Saya ulangi pendirian saya tentang Raheem; dia adalah seorang pemain yang berbakat besar, penuh dengan tenaga dan bakal menjadi bintang dalam dunia bolasepak England khasnya serta Eropah amnya. Masanya akan tiba untuk Raheem mengisi ruang media dan namanya akan menjadi bualan pemerhati sukan bolasepak. Secara peribadi, saya melihat Raheem sebagai senjata yang paling ampuh yang ada dalam skuad LFC malah dalam beberapa sudut Raheem boleh dianggap lebih berharga dari Suarez. Tentu ada yang terangkat kening apabila saya menyentuh nama Suarez. Jangan bimbang; saya ada alasan untuk mengatakan sedemikian.

Mungkin tidak secara keseluruhan tetapi apabila kita melihat dari sudut penglibatan dalam bolasepak, Raheem memiliki kelebihan. Raheem mula terlibat dengan bolasepak secara ilmiah semasa umurnya 10 tahun dimana dia diberi peluang untuk menimba ilmu bolasepak secara formal bersama akademi Queens Park Rangers (QPR). Manakala Suarez pula dilibatkan dalam pasukan remaja Nacional pada umur 14 tahun. Suarez diakui seorang pemain yang hebat tetapi sepanjang umurnya dari 6 tahun iaitu semasa dia mula mengenali bolasepak hingga umur 14 tahun, Suarez menimba ilmu di jalanan. Mengasah bakat dan kebolehan secara tidak formal. 

Berbeza dengan Raheem dimana dia lebih beruntung kerana bakatnya dihidu lebih awal dan perkembangannya dipantau secara lebih sistematik dan yang paling penting Raheem beruntung kerana dia menikmati sepenuhnya pelaksanaan sains sukan yang bukan sahaja menyentuh tentang fizikal malah diet dan psikologi. Saya tidak mengatakan bahawa ilmu bolasepak jalanan tidak cukup baik kerana terbukti ramai nama besar bolasepak yang menimba ilmu di jalanan berjaya dalam karier tetapi saya lebih menyentuh tentang kesan jangkapanjang seperti kecederaan semasa bermain, pemakanan yang seimbang dan ketahanan mental.
Nasib terus menyebelahi Raheem kerana bakatnya dihidu oleh skuad peninjau bakat remaja dari Melwood, LFC. Sekiranya diberi peluang bersama dengan akademi QPR boleh dianggap bagus; maka terlibat dengan akademi LFC boleh lah dianggap terbaik. Saya tidak mengatakan akademi LFC yang terbaik kerana saya adalah penyokong LFC tetapi hakikat ini diakui oleh bekas pemain Manchester United sendiri iaitu Paul Ince. Atas sebab itulah dia menghantar anaknya Thomas Ince menimba ilmu di Melwood. Dengan kemudahan infrastruktur yang terkini dan canggih serta diselenggarakan oleh bekas-bekas pemain LFC, Raheem boleh menganggap dia antara remaja yang bertuah dalam England. Perlu diingat; akademi ini jugalah yang mengeluarkan bakat seperti Steven Gerrard, Carragher dan Micheal Owen.

Selain dari itu, Raheem dibesarkan di England. Walaupun dia dilahirkan di Jamaica namun dia sekali lagi beruntung kerana berjaya dibawa ke England dan membesar dalam masyarakat England. Bukan bermaksud Jamaica tidak menjanjikan masadepan yang cerah tetapi Raheem berpeluang untuk menikmati dunia bolasepak dengan lebih meluas dan dekat kerana BPL dilabel sebagai antara liga terbaik dunia. Setidaknya kemeriahan bolasepak setempat menaikkan lagi minat dan cita-cita Raheem untuk terlibat dengan lebih serius.

Raheem patut berterima kasih pada Rafa Benitez kerana bersetuju untuk memberi peluang kepadanya terlibat dengan projek remaja LFC. Pada saat Rafa membawa Raheem ke LFC, sebenarnya Rafa telahpun nampak bakat yang ada pada Raheem. Bukan setakat bakat semasa tetapi bakat yang dilihat akan mampu bertambah dan berkembang sehingga akan menjadi satu aset berharga bagi LFC. Sebab itulah Rafa bersetuju untuk memasukkan klaus “istimewa” dalam perjanjian dengan pemain kecil ini. Klausnya menyentuh bahawa nilai Raheem yang dibeli dari QPR mungkin boleh mencecah sehingga £5juta; bergantung pada kemampuan dan kemajuan yang dicapai oleh Raheem. Ramai penyokong LFC mula meninjau Raheem selepas ceritanya menjaringkan 5 gol semasa pertemuan Remaja LFC dengan Remaja Southend United dimana Remaja LFC berpesta gol sebanyak 9-0. 

Rafa Benitez
Tetapi saya teringat kata-kata Rafa yang mengatakan dia gembira tetapi tidak terkejut dengan keadaan itu kerana dia tahu Raheem mampu lakukan jauh lebih baik dari itu. Saya juga bingung dengan kenyataan Rafa kerana pada pendapat saya yang cetek ini, 5 gol adalah hebat tetapi begitulah optimis dan jauhnya pandangan Rafa Benitez dalam dunia bolasepak.

Raheem juga sangat beruntung kerana sepanjang tempoh pembelajarannya, dia berpeluang untuk mengasah bakatnya dibawah 2 nama besar dalam bolasepak Eropah iaitu Rafa Benitez dan Kenny Dalglish. Walaupun tidak menuntut sepenuh masa dibawah kendalian 2 nama ini di akademi tetapi perlu diingat perkembangan di akademi juga adalah dibawah pentadbiran pengurus semasa. Ini bermakna; modul pembelajaran yang diamalkan di akademi haruslah mendapat restu dan kelulusan pengurus LFC yang berkhidmat ketika itu.

Secara tidak langsung, remaja seperti Raheem berpeluang menikmati ilmu yang sangat berharga dari 2 pengurus lagenda LFC ini. Ini terbukti apabila Raheem dilibatkan sekali dalam persiapan pasukan senior pada tahun 2010 dimana Rafa membawanya sekali dalam siri perlawanan persahabatan pra-musim. Bayangkan pada umur semuda 15 tahun, Raheem berpeluang turun padang bersama pemain senior semasa perlawanan menentang Borussia Mönchengladbach di German. Kalau itu tidak dikira bertuah, saya tidak tahu istilah apa lagi yang tepat patut saya tuliskan.

Menyentuh tentang nasib baik Raheem; saya tidak terlepas dari perasaan takut, bimbang dan risau tentang kehidupan peribadi Raheem. Mungkin tidak ramai yang tahu tentang kehidupan peribadi pemain ini. Kalau adapun, adalah tentang status beliau sebagai bapa dalam usia yang muda tersebut. Bukan seorang wanita yang membawa zuriat Raheem ketika dia berusia 16 tahun tetapi 2 orang dan ironinya; mereka melahirkan anak Raheem dalam tempoh selang 10 hari. Raheem terperangkap dalam dunia serba mewah dan glamernya sendiri. Itu antara yang perlu dibimbangkan oleh pengurusan LFC. Dalam usia yang muda, Raheem perlu dibimbing dan perlu dididik supaya bijak mengatasi masalah social sebegini. 

 
Namun dalam masa yang sama, masyarakat tidak adil jika mengadili Raheem atas apa yang terjadi ini. Kes ini adalah kes biasa di Negara bebas seperti England malah kita di Malaysia sendiri menghadapi masalah yang sama malah lebih teruk lagi. Bezanya; Raheem adalah public figure dan namanya sedang meletup di England. Ini menjadikan kes Raheem lebih “unik” walaupun kes seumpama itu bersepah dewasa ini.

Sebenarnya Raheem dibelenggu masalah disiplin bukan selepas dia mengenali bolasepak malah masalah ini telah melekat dalam hidup beliau sejak Raheem berumur 10 tahun lagi. Saya teringat pernah membaca satu artikel mengenai Raheem dimana dia pernah dihantar ke rumah pemulihan dan perlindungan kanak-kanak Vernon House di ibukota London kerana masalah disiplinnya. Guru yang bertugas di situ pernah mengingatkan Raheem bahawa jika dia tidak mengubah sikapnya dia bakal menghabiskan sebahagian hidupnya di dalam penjara. Artikel itu juga menceritakan tentang kelemahan Raheem yang dilihat mudah untuk dikuasai rasa marah dan sukar mengawal kemarahannya.

LFC sudah mempunyai Suarez yang diketahui umum mengalami masalah yang seakan sama dan ternyata tidak mampu untuk ditambahkan lagi masalah yang sama. Sehingga kini, Raheem masih mampu beraksi dengan matang walaupun pernah sesekali “terbabas” dengan sikap lamanya tapi masih dalam keadaan terkawal. Apa yang dibimbangkan adalah pasukan lawan yang tahu kelemahan Raheem dan menggunakannya sebagai umpan.

Raheem perlu bijak mengurus kehidupannya di dalam dan diluar padang. Bakat sahaja tidak menjamin masa depan yang cerah. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Paul Gascoigne, George Best, Eric Cantona dan pemain yang masih aktif sekarang seperti Balotelli. Raheem perlu diasuh untuk mengimbangi kemashyuran dan alam remajanya. Tidak mustahil Raheem akan jadi bintang terkenal satu hari nanti dan tidak juga mustahil dia tersungkur lebih awal. Rugi rasanya bakat yang ada dirosakkan dengan masalaah disiplin.

Terima Kasih & SCAST !!

Shankly List (Apai)

1,423 total views, 1 views today

Leave Your Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam